KHOON HOOI RAYA 2019 LARUT DALAM TEMA HAVANA NIGHTS

Hojas, rayas dan cuadrado antara yang pernah mengiramakan musim semi Khoon Hooi. Suasana cahaya riang bersinar yang mengharumi angkasa, warna-warni bangunan yang memesrai alam dan tingkahan konga yang tak jenuh jemu dipalu hingga rembang malam, meligatkan buah fikirannya. Semua ini yang mengkhayalkan kita pada malam di Havana, menggamit Khoon Hooi untuk dia jadikan sebagai ilham himpunan musim bunga panas 2019.

Khoon Hooi bercanda dengan tema Havana Nights dalam menghasilkan himpunan musim bunga panas 2019. Dia membayangkan sosok perempuan yang bersahaja, bebas tanpa kerunsingan dan pada masa sama cantik mengghairahkan. Lalu Khoon Hooi bermain dengan rona-rona yang menyarau seperti warna merah ala-ala semangka, kuning seperti nanas, rona sedingin pudina dan jingga terang tangerin – meronai keseluruhan himpunan. Ditambah motif corak hojas, rayas dan cuadrado (seperti yang dinyatakan di atas), menegapkan lagi gagasan Khoon Hooi.

 

Perihal atau penceritaan yang sama diteruskan oleh Khoon untuk himpunan bespokerayanya kali ini! Dia sedang asyik dan masih terpesona dengan tema Havana Nights, tidak berkalih daripada idea tersebut dalam mencorakkan bespoke Raya 2019. Namun, bersempena Raya ini, Khoon menyatukan citra tersebut bersama ketradisionalan dan sedikit gaya kontemporari. Menyunting pula Ally Mukhriz sebagai wajah rasmi kempen bespoke Raya, menepati pengutaraan watak yang dibayangkan oleh Khoon.

Stail serta siluet rencam menyaingi koleksi bespoke Raya Khoon Hooi. Contohnya seperti gaya kurung moden tanpa pesak, kebarung klasik, kebaya singkat, stail ala-ala kurung kedah dan ceraian-ceraian yang disempurnakan oleh rekaan lengan loceng juga bentuk mutton.

 

Seakan-akan sama dengan himpunan musim bunga panasnya, ia tidak menyisikan butiran-butiran seperti sulaman corak buah-buahan, motif pokok palma, rantai-rantai kristal, perincian rambu rumbai raffia serta batu permata bertatahkan corak floral. Khoon Hooi menyusun 17 helai made-to-order atau bespoke, menggunakan pelbagai fabrik. Tafeta dan broked antara yang menjadi material utamanya.

Khoon Hooi bespoke Raya 2019 kini sudah tersedia dia ruang pameran Khoon Hooi di APW Bangsar!

https://stail.my/fesyen/khoon-hooi-bespoke-raya-2019/